Kelihatan beberapa van jenazah yang membawa jenazah mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang,Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Sebahagian daripada tujuh suspek yang ditahan dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta, esok.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis sudah pun lengkap menjalankan siasatan kejadian yang meragut nyawa 23 mangsa.

“Esok atau dalam masa terdekat, sebahagian suspek ini akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati bukan semua suspek yang ditahan terlibat membakar pusat tahfiz itu pada 14 September lalu.

Sehubungan itu, hanya suspek yang terlibat secara aktif sahaja yang didakwa manakala bakinya disiasat mengikut seksyen-seksyen lain termasuk berkaitan dadah.

Tambahnya, polis masih dalam proses siasatan berhubung bahan bukti yang akan terus dilengkapkan sehingga tamat perbicaraan nanti.

Dalam tragedi yang menyayat hati itu seramai 21 orang penuntut dan dua warden pusat tahfiz berkenaan maut selepas tingkat tiga bangunan tersebut terbakar.

Para pelajar itu dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana kebakaran didakwa merebak dengan pantas.

Ekoran kejadian itu, polis menahan tujuh remaja lelaki berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette