Tian Chua

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan mengarahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjalani hukuman penjara sebulan, selepas dia membuat keputusan mengejut menarik balik rayuan terhadap sabitan melanggar arahan polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada 2012.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohtarudin Baki memerintahkan naib presiden PKR terbabit memulakan hukuman penjaranya di Penjara Kajang, hari ini.

Tian Chua disabitkan bersalah di bawah Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959 kerana menolak arahan meninggalkan Kompleks Pulapol di Jalan Semarak pada 29 April 2012, sehari selepas dia ditahan dalam perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Tian Chua melucutkan peguamnya, N Surendran dan menyuarakan kesediaannya untuk dipenjarakan.

Ketika berada dalam kandang tertuduh, Tian Chua berkata, dia ditahan bersama 500 peserta Bersih 3 pada 28 April 2012 dan dihantar ke Pulapol.

“Saya tidak didakwa kerana mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan haram. Dakwaan terhadap saya adalah berkaitan kehadiran saya di Pulapol, di mana saya ditahan pada hari tersebut.

“Saya didakwa melakukan kesalahan menceroboh ‘kawasan larangan’, iaitu Pulapol. Dengan penuh hormat, saya ingin memaklumkan mahkamah ini saya menarik balik rayuan saya,” katanya.

Beliau menyifatkan amat tidak munasabah menghukumnya kerana dia berada di Pulapol secara paksaan dan tanpa persetujuannya.

Katanya, dia menyertai perhimpunan Bersih sebagai sebahagian perjuangan lama untuk membentuk Malaysia yang lebih adil dan baik.

Tian Chua berkata, seperti jutaan rakyat Malaysia lain, dia mendambakan perubahan demi menegakkan keadilan dan kebebasan di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast