Pengasas Jelajah Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arulchelvan bercakap pada sidang media mengenai Jelajah PSM di Pejabat PSM, Kota Damansara. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2017

PETALING JAYA – Parti Sosialis Malaysia (PSM) bakal bertanding tiga kerusi Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bekas Setiausaha Agungnya, S.Arulchelvan yang mengumumkan perkara itu berkata, salah satu DUN ialah Kota Damansaran kerana ia kerusi tradisi  yang pernah dimenangi wakilnya, Dr. Mohd Nasir Hashim dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

“Saya rasa peranan PSM di Kota Damansara dan Subang amat relevan sekarang ini dan dua kawasan ini memerlukan seorang wakil yang buat kerja.

“Sebab itu kita bertanding di Kota Damansara untuk merampas kembali kerusi kami daripada BN,” katanya pada sidang media sempena Jelajah PSM Menuju PRU-14 di sini hari ini.

Antara tiga kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PSM ialah Subang, Hulu Langat dan Hulu Selangor manakala empat kerusi DUN ialah Kota Damansara, Semenyih, Sri Muda dan Pelabuhan Klang.

Pada PRU-13, PKR menerusi calonnya, R.Sivarasah memenangi kerusi Parlimen Subang manakala DUN Kota Damansara dimenangi calon BN, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.

PSM gagal mempertahankan kerusinya di DUN Kota Damansara pada PRU13 selepas Parti Islam Se-Malaysia (Pas) meletakkan calonnya menyebabkan berlakunya pertandingan tujuh penjuru termasuk calon bebas.

Mengulas lanjut, Arul berkata, pihaknya tidak menolak sekiranya Pakatan Harapan mahu membuat rundingan bagi menewaskan calon BN pada PRU-14 meskipun PSM masih tidak menyertai mana-mana blok politik.

“Jika ada perbincangan kita sedia berunding, setakat ini tiada lagi termasuk Pas. PSM tiada masalah kerana kita parti kiri akan lawan tak kisah siapa pun, sama ada BN atau Pakatan Harapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast