Jamal melayan orang ramai yang hadir ke `Program Jualan Ikan Harga Patut Berbeza Dengan Harga Pasaran' di Ampang hari ini.

AMPANG – Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa pembangkang menggunakan kartel untuk menaikkan harga ikan di pasaran.

Menurutnya, mereka didakwa bersekongkol dengan peraih atau orang tengah untuk menaikkan harga tangkapan laut dan kemudian mengenakan harga yang tidak munasabah.

“Bayangkan harga ikan kembung 13 ekor satu kilogram cecah sehingga RM20 di pasar.

“Saya percaya jika perkara ini tidak ditangani ia akan melepasi harga melebihi RM20 sekilogram,” katanya kepada pemberita di perkarangan bangunan UMNO Ampang pada `Program Jualan Ikan Harga Patut Berbeza Dengan Harga Pasaran’ di sini hari ini.

Menurut Jamal, inisiatif yang dilakukannya itu adalah selepas mendengar rungutan orang ramai terutama golongan suri rumah berhubung kenaikan harga ikan yang mendadak di pasaran.

Katanya, beliau sedar mengenai perkara itu selepas isterinya baru-baru ini terkejut apabila mendapati harga ikan kembung di Pasar Keramat mencecah sehingga RM18 sekilogram.

Justeru, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mendakwa harga ikan yang melambung tinggi di pasaran ketika ini sudah dijadikan salah satu daripada taktik parti-parti politik tertentu untuk menghentam kerajaan.

“Apa yang kami jual hari ini adalah harga yang kami beli walaupun saya dapat ikan kembung dan ikan cencaru pada harga RM4.80 sekilogram terus daripada nelayan tapi kami jual dengan harga RM5 sekilogram.

“Jualan ini tidak bermotifkan keuntungan tapi kami ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa inilah sebenarnya harga ikan.

“Sepatutnya harga ikan rakyat ini tidak boleh melepasi RM10 untuk pengguna di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu Jamal turut mendesak pihak yang berkaitan seperti FAMA dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya turun padang bagi menangani masalah kenaikan harga ikan ini dengan segera.

Katanya, beliau bimbang sekiranya sambutan luar biasa yang dapat dilihat oleh penduduk Ampang menerusi program yang dilakukannya hari ini, langkah perlu untuk memantau harga ikan dipasaran perlu diberi perhatian serius.

‘Saya nasihatkan pegawai-pegawai yang terlibat jangan hanya pakai tali leher, jangan pakai kot duduk di pejabat sahaja tetapi mereka kena turun ke bawah untuk fikir cara selesaikan masalah rakyat itu,” tambahnya.

Sebanyak lima tan ikan dijual dalam program itu yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengahari.

Antara ikan yang dibawa oleh Jamal ke program itu adalah ikan sardin, kembung, mabong dan cencaru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast