Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Ahmad (dua kanan) pada sidang media selepas penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Beri masa dan ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Demikian kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memanggil lebih ramai saksi dan merampas dokumen yang berkaitan dalam siasatan kes itu.

“Kita masih melakukan siasatan, beri kami masa untuk melengkapkan siasatan, beri kami ruang.

“Kalau ada keperluan kita akan panggil ramai lagi yang boleh membantu siasatan, siapa saja dan apa jua dokumen kita akan ambil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (KEJAR 17) di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Semalam, SPRM memanggil Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot ke ibu pejabat agensi itu dipercayai untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana PTPK sebanyak RM40 juta.

SPRM sebelum ini berjaya mendapatkan perintah reman selama enam hari terhadap Setiausaha Politiknya bagi membantu siasatan kes tersebut.

Turut ditahan reman sebelum ini ialah Ketua Eksekutif PTPK, dua kakitangan tabung tersebut dan seorang pengarah syarikat. – MalaysiaGazette