Anggota bomba mengeluarkan mangsa selepas kereta dipandunya kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang anggota tentera di Kem Mahkota di sini maut selepas kereta dipandunya terbabas dan masuk laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 72, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 4.25 petang itu melibatkan kereta Proton Saga FL dipandu mangsa dengan treler jenis Isuzu.

“Hasil siasatan awal didapati kereta itu dari arah Kluang menghala ke Kahang manakala treler dari arah bertentangan.

“Sampai di tempat kejadian, kereta telah hilang kawalan dan masuk ke laluan treler serta melintang di atas laluan treler. Treler yang tidak sempat mengelak telah melanggar kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran yang berlaku, pemandu kereta, Mohd Shahruddin A Rahim yang berusia 39 tahun cedera parah di muka dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, pemandu treler, Rohani Rahim berumur 40 tahun cedera ringan di muka dan dada serta sedang mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II Nuzul Azroy berkata, sembilan anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pemandu kereta berkenaan tersepit dan pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast