BATU KAWAN – Sebanyak 14 daripada 20 institusi perbankan utama di Malaysia sudah beralih kepada kaedah baki pengurangan (reducing balance method) bagi pembiayaan sewa beli, susulan pelaksanaan pindaan Akta Sewa Beli 1967.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, baki enam bank sedang melengkapkan proses peralihan dan komited menyelesaikannya selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.
Katanya, pelaksanaan kaedah berkenaan adalah antara perubahan yang diperkenalkan menerusi Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang diwartakan pada 30 Januari lalu dan berkuat kuasa 1 Jun lalu.
“Secara keseluruhan terdapat 429 entiti terdiri daripada institusi perbankan dan syarikat penyedia sewa beli yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia (AHPCM).
“Kita menyasarkan 80 peratus penyedia sewa beli akan menawarkan pembiayaan sewa beli dengan pematuhan di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 menjelang hujung tahun ini dengan 20 peratus lagi perlu membuat peralihan dan mematuhi tempoh peralihan yang diberikan sehingga 31 Mac 2027,” katanya.
Armizan berkata demikian pada sidang media sebelum menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Festival Pengguna (CONFEST) 2026 di pekarangan Stadium Negeri di sini, hari ini.
Festival Pengguna (CONFEST) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis hingga esok merupakan acara kemuncak Sambutan Hari Pengguna 2026, dengan objektif meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan perlindungan pengguna serta amalan kepenggunaan yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, tempoh peralihan kepada penyedia perkhidmatan sewa beli diberikan sehingga 31 Mac 2027.
Menurutnya, pindaan berkenaan turut memansuhkan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah Rule of 78, yang digantikan dengan kaedah baki pengurangan serta kadar faedah efektif (effective interest rate).
“Dengan kaedah baharu ini, dari awal kita membuat pembayaran setiap bulan, ia lebih adil dan lebih ‘proportionate’ (berkadaran) kerana ia akan turut mengambil kira jumlah prinsipal, bukan hanya dimulakan dengan membayar faedah dahulu.
“Sekiranya kita membuat penyelesaian awal, kita akan dapat melihat bahawa kadar pinjaman yang dibayar tersebut akan jauh lebih rendah berbanding Rule of 78,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN kini mengumpulkan data untuk menilai jumlah pengguna yang sudah mendapat manfaat daripada mekanisme baharu itu.
“Data berkenaan dijangka diumumkan selepas tempoh enam bulan pelaksanaan, membabitkan tempoh Jun hingga Disember ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















