Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerahkan Jalur Gemilang sebagai simbolik perasmian Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Melaka berhasrat menjadi tuan rumah Perhimpunan Seni Silat Nusantara tahun depan dalam usaha menghidupkan semula warisan seni budaya pertahanan diri Melayu di rantau ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu tercetus selepas beliau melihat sendiri penglibatan persatuan-persatuan silat dari Nusantara dalam program Laga Badai yang disifatkannya memberi kesan mendalam.

Melaka menurutnya, boleh dijadikan lokasi program rintis yang menghimpunkan penggiat seni silat dan budaya dari beberapa negara serumpun termasuk Indonesia, Brunei, Singapura serta Selatan Thailand khususnya Pattani.

“Saya melihat Laga Badai, iaitu menggabungkan persatuan-persatuan silat di Nusantara di bumi Tanjung Bidara ini amat memberikan kesan yang mendalam kepada saya untuk membangunkan semula warisan-warisan seni budaya pertahanan diri Melayu ini.

“Kalau boleh kita nak kembangkan lagi pada tahun hadapan, kita nak buat pertandingan ataupun perkumpulan seni silat Nusantara yang Melaka insya-Allah akan menjadi tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Laga Badai Selat Melaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Sempena Program Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN berkenaan di sini hari ini

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, penganjuran itu bukan sekadar pertandingan tunggal sebaliknya berpotensi dikembangkan sebagai sebuah perhimpunan seni dan budaya Nusantara yang lebih besar di Melaka.

“Saya amat tertarik melihat seni dan gayanya, memang menggambarkan bahawa rumpun Melayu ini mempunyai pelbagai nilai seni budaya yang mesti digabungkan dalam rumpun yang sama tapi kita telah terpisah oleh batasan sempadan peradaban.

“Jadi kita harap kita akan kumpulkan dalam perhimpunan seni dan budaya Melaka pada tahun hadapan menjadi satu program rintis.

“Ianya untuk mengembalikan semula kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka dan kita akan lihat bahawa seni budaya ini boleh dikembangkan sebagai satu produk pelancongan baru,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here