ROMPIN – Dakwaan 16 pelajar mengalami trauma selepas menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Bukit Ibam di sini mula terbongkar selepas seorang pelajar Tingkatan Dua, A’isy tampil menceritakan apa yang yang dilaluinya.
Menurut A’isy, dia mengenali lima pelajar senior yang didakwa terbabit.
“Paling sakit ditendang di perut selain dipukul dengan penyapu di belakang badan dan ditampar di muka berulang kali,” dakwanya.
Pelajar berusia 14 tahun itu turut mendakwa dia dan seorang rakannya dipanggil ke bilik asrama lelaki No. 203 pada tengah malam sebelum kepala mereka ditutup dan dipukul beramai-ramai.
A’isy mendakwa kejadian berlarutan kira-kira dua jam manakala rakannya pula dipukul sehingga dua jam setengah.
Malah dia mendakwa turut menerima ugutan untuk dicederakan menggunakan pisau lipat dan serpihan kaca.
Selepas kejadian, A’isy mendakwa dia terlalu takut untuk memberitahu sesiapa kerana bimbang dipukul lagi.
Ketakutan itu menyebabkannya merayu supaya dibenarkan tidur di rumah warden kerana tidak berani lagi kembali ke asrama.
Namun, menurut ibu A’isy, Siti Rohani Yusof, 40, permintaan anaknya itu didakwa tidak dilayan walaupun ketika itu dia berada dalam keadaan ketakutan.
“Mangsa takut sangat. Dia minta untuk tidur di rumah warden sebab takut mereka akan pukul dia lagi. Dia juga nak tunjuk tempat dia kena pukul tetapi warden kata tidak perlu tunjuk,” katanya.
Menurut Siti Rohani, anaknya kemudian didakwa dipukul lagi pada malam berikutnya oleh dua pelajar termasuk menggunakan batang penyapu.
Lebih mengejutkan, selepas kes anaknya terbongkar, 16 lagi pelajar didakwa mula tampil dan menceritakan pengalaman mereka yang dikatakan pernah menjadi mangsa buli atau gangguan pelajar senior.
“Ada yang pergi buat laporan, ada yang pergi ambil anak dan ada yang baru hendak buat laporan. Saya difahamkan keluarga mereka ada yang tahu dan ada yang tidak tahu apa yang berlaku kepada anak masing-masing di sekolah,” katanya.
Siti Rohani berkata, sebelum ini ramai pelajar didakwa memilih untuk berdiam diri kerana takut menjadi sasaran sekiranya menceritakan apa yang berlaku.
“Bila kes anak saya mula terbongkar, baru mereka mula berani bercakap. Mereka sedar bahawa mereka tidak sepatutnya takut untuk bersuara kalau benar mereka pernah menjadi mangsa,” katanya.
Justeru beliau berharap dakwaan membabitkan 16 pelajar terbabit turut disiasat secara menyeluruh.
“Ini bukan lagi soal anak saya seorang. Kalau betul ada 16 lagi yang tampil, kita perlu tahu apa sebenarnya yang berlaku di asrama itu.
“Saya tidak mahu ada ibu bapa lain menerima panggilan bahawa anak mereka pula menjadi mangsa selepas ini,” katanya.
Terdahulu, polis menerima dua laporan berhubung kejadian membabitkan dua pelajar Tingkatan Dua pada 17 September lalu.
Lima pelajar senior yang terdiri daripada tiga pelajar Tingkatan Lima dan dua pelajar Tingkatan Empat ditahan bagi membantu siasatan sebelum diberikan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Ibu dakwa anak dipukul dengan batang penyapu, dibelasah 2 jam
















