KUALA LUMPUR – Tiada pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah menyebabkan kematian dua anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya sudah mengarahkan TLDM untuk memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.

“Saya telah arah @tldm_rasmi untuk beri sepenuh kerjasama kpd pihak @PDRMsia untuk lakukan siasatan. Tiada perkara akan disembunyikan. Itu janji saya.

“Saya konsisten bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang2 jika didapati bersalah. Buat masa ini, biar pihak @PDRMsia teruskan siasatan,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, @HishammuddinH2O, hari ini.

Pada masa sama, Hishammuddin turut menzahirkan rasa sedih dan terkilan di atas kematian dua anggota berkenaan serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kelmarin, Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, dan Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 meninggal dunia selepas diarah menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Komunikasi TLDM, Sungai Wangi, Sitiawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, berikutan itu polis menahan tiga anggota TLDM pada jam 9.30 malam tadi untuk membantu siasatan kes kematian itu.- Malaysia Gazette