Gambar kes buli yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menyiasat dakwaan aktiviti buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seperti yang didakwa berlaku dalam media sosial baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kejadian kes buli dalam kalangan pelajar di MRSM berkenaan.

“Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa buli berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata demikian mengulas satu video yang tular kini di media sosial berhubung kes buli yang didakwa berlaku di MRSM Pulai Pinang.

Dalam pada itu, beliau juga mengulangi pendirian tidak menerima aktiviti tidak sihat ini berlaku di mana-mana institusi pendidikan Mara.

“Saya sudah mengingatkan banyak kali semenjak diberikan amanah menjaga MARA, ‘You touch you go! Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM,” katanya lagi.

Hari ini, Facebook Utara Kini memuatnaik video berdurasi seminit 31 saat yang memaparkan seorang pelajar dibuli oleh beberapa rakannya yang lain.

Pelajar berkenaan didapati dilibas dengan tali pinggang selain dihenyak oleh beberapa rakanya.

Mangsa turut diikat kakinya tanpa belas kasihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast