Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto IQBAL BASRI, 01 0KTOBER 2017.

BANGI – Sebagai persediaan menghadapi status negara tua pada tahun 2030, kerajaan bersedia untuk membentang Rang Undang -undang (RUU) Profesion Kerja Sosial pada mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya 45 hari daripada hari ini.

Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangi hari ini setelah RUU tersebut tertangguh selama lima tahun.

Menurut Zahid, RUU tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah Kabinet dalam tempoh terdekat ini, sebelum dibawa ke Sidang Dewan Rakyat dan Sidang Dewan Negara akan datang.

Tambah Zahid, penggubalan RUU tersebut mampu menangani isu lambakan warga emas yang tidak bekerja setelah menamatkan perkhidmatan kelak, dengan menjana pendapatan malalui aktiviti kesukarelaan.

“Pada tahun 2030 Malaysia akan masuk dalam negara tua kerana 15 peratus rakyatnya dalam kategori 60 ke atas. Ikut piawaian, Malaysia akan berada dalam kategori negara tua.

“Pada masa jangka panjangnya kita sediakan pelan komfrehensif untuk selesaikan masalah sosial, ertinya persediaan kita harus dilakukan dari sekarang. Kita cuma ada masa 12 tahun saja lagi.

“Oleh yang demikian RUU persendirian akan dibentangkan oleh JKM, dan dibawa ke jemaah menteri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum digazetkan pelaksanaannya.”

Selain menangani masalah ‘negara tua’, RUU tersebut juga mampu menangani pelbagai masalah yang melibatkan remaja tercicir daripada persekolahan seterusnya gejala sosial seperti penagihan dadah dan vandelisme dapat dikurangkan.

“Kesalahan juvana memberi kesan mendalam kepada perdana menteri dan saya, bukan saja berikutan insiden di tahfiz Keramat, tapi juga daripada keciciran di sekolah. Masalah penagih dadah juga yang bermula dari umur tujuh tahun.

Walau bagaimanapun, menurut Zahid, pendekatan kerohanian daripada kesemua anutan agama juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar jenayah juvana, selain penglibatan dalam aktivit kesukarelaan.

Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial sebelum ini turut dikenali sebagai Rang Undang-undang Akta Pekerja Sosial pertama kali dicadangkan pada 2012 oleh Tan Sri Sharizat Abdul Jalil. -MalaysiaGazette