Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Dua hakim Mahkamah Rayuan di sini menarik diri daripada mendengar rayuan Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berhubung satu saman fitnah.

Saman itu dikemukakan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap Mohd Rafizi dan Malaysiakini berhubung pembelian sebuah hartanah di KL Eco City di Bangsar.

Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini, berkata atas kepentingan keadilan, beliau dan Hakim Mary Lim Thiam Suan tidak akan mendengar rayuan itu dan akan menarik diri mereka.

Beliau sebelum itu memberitahu peguam bahawa kedua-dua mereka telah bersidang dalam panel Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan dalam satu lagi kes fitnah membabitkan Dr Mohamad Salleh dan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada 10 Julai tahun ini.

Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dr Mohamad Salleh berkata kedua-dua hakim tidak seharusnya mendengar rayuan Mohd Rafizi tetapi peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Mohd Rafizi berhujah kedua-dua hakim berkenaan boleh mendengar rayuan itu oleh kerana kenyataan dalam kes Nurul Izzah adalah berlainan sama sekali.

Kes itu kemudiannya dikemukakan bagi pengurusan kes hari ini di hadapan pendaftar mahkamah yang menetapkan 23 Mac sebagai tarikh baharu pendengaran rayuan di hadapan panel hakim baharu.

Seorang lagi hakim yang bersidang dalam panel hari ini ialah Tan Sri Idrus Harun.

Mohd Rafizi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober tahun lepas yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,00 kepada Dr Mohamad Salleh.

Sementara itu, Dr Mohamad Salleh turut merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan beliau terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik portal berita Malaysiakini yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam tuntutan saman itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh danNFCorp, mendakwa pada 7 Mac, 2012, Mohd Rafizi membuat kenyataan berbaur fitnah dalam sidang media di Pejabat PKR berkaitan pembelian hartanah KL Eco City dan kenyataan itu disiarkan oleh Malaysiakini pada hari sama.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan dalam keputusannya menegaskan bahawa kenyatan yang dibuat oleh Mohd Rafizi adalah fitnah.

Peguam K. Shanmuga mewakili Malaysiakini. – Bernama