IMBAS KEMBALI.Sepasukan anggota Jabatan Letupan Nuklear, Biologi, Radiologi dan Kimia (CBRNe) Makmal Forensik PDRM, Team AZMAT dan CBRNe Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memulakan operasi mengesan bahan toksik dan kimia di sekitar kawasan kematian Kim Jong-Nam yang mati dibunuh pada 13 februari lalu di KLIA2, Sepang pada 26 FEBRUARI 2017.
SHAH ALAM – Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dibunuh dengan cara prank atau bergurau yang dilakukan oleh warga Indonesia, Siti Aisyah dan warga negara Vietnam, Doan Thi Huong.

Demikian kata pihak pendakwaraya dalam perbicaraan kes pembunuhan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang turut menyebut ia turut dilakukan oleh empat individu lain yang masih bebas.

Timbalan Pendakwa Raya, Iskandar Ahmad berkata demikian ketika ucapan pembukaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Azmi Ariffin menerusi dokumen empat muka surat yang dibacakan.

“Empat orang yang masih bebas menunjukkan niat bersama OKT1 (tertuduh pertama ) dan OKT 2 (tertuduh) bersama empat orang tersebut untuk menyebabkan kematian si mati (Jong-nam).

“Ini adalah kerana keadaan si mati adalah biasa sebelum muka dan matanya disapu dengan cecair racun VX,” katanya pada perbicaraan pertama kes pembunuhan Jong-Nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Iskandar turut memaklumkan kedua-dua tertuduh mendekati Jong Nam ketika di KLIA2 pada 13 Februari lalu sebelum menyembur racun VX ke muka mangsa.

Bagaimanapun kenyataan pembukaan tidak menyatakan identiti dan kewarganegaraan empat lagi individu.

Katanya, selepas disembur, Jong-Nam pergi ke kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang untuk membuat aduan.

Jelas Iskandar, mangsa kemudian dibawa ke klinik KLIA2 sebelum dibawa menaiki ambulans ke Hospital Putrajaya dan didapati meninggal ketika dalam perjalanan.

Iskandar berkata, pihaknya akan membuktikan pertuduhan terhadap Siti dan Doan melampaui keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, mengikut keadaan, keterangan pakar, keterangan saintifik, keterangan dokumentari dan beberapa keterangan lain.

“Disamping itu, ia akan mengaitkan beberapa barang kes yang dijumpai dan dirampas untuk membuktikan OKT1 dan OKT 2 bersama empat lagi yang masih bebas telah bunuh si mati.

“Kesemua keterangan yang dibawa akan membuktikan satu kes yang melampau tahap keraguan yang munasabah,” katanya. MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast