Datuk Abdul Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR – Malaysia merancang untuk meneroka teknologi baharu untuk meningkatkan tahap keselamatan untuk navigasi di perairan Selat Melaka dan Singapura.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd. Aziz Kaprawi melalui Facebook miliknya hari ini.

Beliau yang hadir di sebuah forum di Kota Kinabalu, Sabah, memberitahu bahawa beliau sebagai wakil negara, menerima dana bernilai USD 6 juta bagi penyelenggaraan, pembaikian dan pembaharuan 51 bantuan kritikal kepada navigasi di Selat Melaka dan Singapura.

“Pagi ini saya merasmikan pembukaan Forum Kerjasama ke-10 di bawah Mekanisma Kerjasama Antara Negara Littoral dan Pengguna Selat Mengenai Keselamatan Navigasi dan Perlindungan Alam Sekitar di Selat Melaka & Singapura yang bertempat di Kota Kinabalu, Sabah

“Forum ini diadakan selama lima hari bermula hari ini sehingga hari Jumaat yang dihadiri oleh lebih 160 delegasi dari 45 negara di seluruh dunia. Ini merupakan tahun ke-10 Mekanisma Kerjasama ini diadakan serta mendapat kerjasama yang sangat baik dalam kalangan pengguna Selat Melaka.

“Dana yang bernilai USD 6 juta akan diserahkan kepada Malaysia akan digunakan bagi penyelenggaraan, pembaikian dan pembaharuan 51 bantuan kritikal kepada navigasi di Selat Melaka dan Singapura,” ujarnya.

Tambah Abd. Aziz, dana tersebut akan digunakan bagi tujuan penyelenggaraan, pembaikian dan pembaharuan 51 bantuan kritikal kepada navigasi di Selat Melaka dan Singapura bagi tempoh tiga tahun yang akan bermula pada tahun hadapan.

“Salah satu elemen yang penting melalui Mekanisma Kerjasama ini adalah Aids to Navigation Fund yang mana Malaysia akan menjadi pengerusi kepada dana ini bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2018,” katanya. -MalaysiaGazette