Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara, Putrajaya mendesak membuka semula kertas siasatan dan menubuhkan RCI berhubung skandal BMF, pembunuhan Jalil Ibrahim, peranan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin di sebalik penyelewengan BMF.

PUTRAJAYA – Peguam Negara tiada alasan lagi untuk melenggahkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang dipercayai membabitkan beberapa bekas pemimpin negara.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, tindakan segera perlu diambil memandangkan pihaknya telah menyerahkan segala bukti skandal berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Bukti sudah cukup, jadi Peguam Negara sudah tiada alasan lagi untuk tidak tubuhkan RCI dengan segera dan buka balik kertas siasatan dengan segera.

“Saya minta Jabatan Peguam Negara tidak melengahkan masa untuk menubuh dan melaksana RCI demi keadilan kepada arwah Jalil Ibrahim dan kembalikan harta-harta yang diambil oleh kepimpinan terdahulu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Peguan Negara, di sini, hari ini.

Presiden PMSP, Ramesh Rao bersama Pegawai Tugas-Tugas Khas PMSP, Shafik Abdullah (dua kanan) bergambar bersama memorandum mendesak peguam negara membuka semula siasatan skandal BMF, pembunuhan Jalil Ibrahim dan peranan Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim disebalik penyelewengan BMF di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2017

Terdahulu Ramesh bersama empat pegawai NGO itu menyerahkan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara mendesak agar membuka semula siasatan skandal BMF, pembunuhan Jalil Ibrahim, peranan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin di sebalik penyelewengan BMF.

Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas PMSP, Shafik Abdullah pula berkata, kali ini Peguam Negara bukan sahaja membuat pendengaran terbuka bahkan menyiasat semula kes yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

“Kami harap kali ini Peguam Negara menggunakan istilah Royal of Commision Investigation and Inquiry (RCII).

“Pendengaran ini dia boleh dibuat melalui dokumen yang sedia ada dan siasatan pun boleh dilakukan balik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.