Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

SINGAPURA – Satu undang-undang dicadangkan untuk menyokong pembinaan dan perkhidmatan kereta api laju yang menghubungkan Singapura- Malaysia yang diperkenalkan di Parlimen semalam.

Klausa Rang Undang-Undang Keretapi Sempadan itu antara lain akan menyediakan peruntukan bagi pelesenan pengendali untuk menjalankan perkhidmatan kereta api dan mengekalkan aset keretapi, pelantikan juruaudit keselamatan bebas dan pembiayaan pembinaan projek.

Ia juga akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk menggantung perkhidmatan kereta api merentas sempadan jika terdapat risiko yang mungkin berlaku kepada keselamatan komuter, seperti kerosakan atau tindakan pengganas.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Singapura hari ini berkata, Rang Undang-Undang itu akan menyokong “pembinaan, operasi dan peraturan” Rel Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), mengikut perjanjian dua hala yang ditandatangani pada Disember lalu.

Projek itu melibatkan laluan sepanjang 350 kilometer, berupaya menawarkan 90 minit perjalanan yang dijangka bermula pada akhir tahun 2026.

Rang Undang-undang ini juga akan menyokong Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS) selepas Singapura dan Malaysia menandatangani perjanjian dua hala pada akhir tahun ini, kata jurucakap itu.

RTS akan menghubungkan stesen Woodlands North pada MRT Thomson-East Coast dengan terminal Bukit Chagar Johor, dijangka siap menjelang akhir tahun 2024.

Undang-undang yang dicadangkan itu juga menyatakan penalti jika operator kereta api atau pengendali aset keretapi gagal mematuhi keperluan pelesenan boleh dikenakan denda sehingga S$1 juta atau 10 peratus daripada pendapatan tahunan mereka yang diterima pada tahun kewangan yang terakhir. – MalaysiaGazette