KUALA LUMPUR – Sebuah kren terbalik dan tumbang di Fasa 4C, Presint 8, di Putrajaya pagi tadi akibat hilang keseimbangan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah.
Katanya, seorang mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi di Hospital Putrajaya.
“Kedua-dua mangsa yang mati adalah warga Indonesia berusia 53 serta 54 tahun dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Mereka dipercayai jatuh dari ketinggian tingkat tujuh di lokasi kejadian semasa bekerja,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Aidi Sham, mangsa ketiga berusia 56 tahun pula mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.
Beliau juga memaklumkan, kesemua mangsa adalah pekerja kontrak berdaftar dengan syarikat yang sedang membuat kerja mengecat bangunan di Blok A.
“Kejadian berpunca daripada mangsa yang berada dalam ‘bucket crane’ telah terjatuh apabila jentera hilang keseimbangan.
“Semakan awal, lokasi kemalangan merupakan kawasan tanah lapang tidak berturap,” jelasnya. – MalaysiaGazette