Home Nasional Lagi suspek kes kematian anggota TLDM akan ditahan

Lagi suspek kes kematian anggota TLDM akan ditahan

IPOH – Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi suspek akan ditahan dalam kes kematian dan kecederaan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata “kemungkinan itu ada” namun tidak boleh mendedahkannya sekarang.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, sehingga semalam, tujuh anggota TLDM ditahan dan lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan kematian dua anggota pada 29 Julai dan tempoh reman ke atas semua suspek akan berakhir 7 Oktober.

“Dua daripada yang disiasat mengikut Seksyen 302 juga disiasat mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan ugutan,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh dua anggota akibat kecederaan semasa berada di bilik tahanan dan tempoh reman mereka berakhir 6 Oktober (esok).

Mohamad Fuzi berkata, dua anggota yang cedera itu masih dirawat di Hospital Angkatan Tentera di Lumut.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa seramai 35 saksi telah dirakam percakapan termasuk lapan tahanan di bilik tahanan berkenaan selain orang awam.

“Dalam tempoh kejadian terdapat 10 orang tahanan di bilik berkenaan, dua daripadanya meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, semua anggota terbabit menjadi tahanan kerana kesalahan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972; Kaedah-kaedah Acara Angkatan Tentera (Penjaraan Dan Tahanan) 1976 serta Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 4 Tahun 1982.

Katanya sebanyak 57 barang kes termasuk kamera litar tertutup (CCTV) telah dirampas dan dihantar ke Jabatan Kimia dan semua masih dalam tindakan dan sedang diproses oleh para pakar.

“Pihak polis telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak TLDM untuk melengkapkan siasatan,” Mohamad Fuzi.

Jumaat lepas, dua anggota TLDM LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan itu dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Pada 2 Oktober pula, dua anggota TLDM tampil membuat laporan polis selepas mengalami kecederaan di bilik tahanan sama.- MalaysiaGazette