Mangsa, Loo Tin Fat bercakap pada sidang media mengenai aduan kekerasan yang dilakukan oleh along di Ibu Pejabat PGRM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR- Sudahlah ‘diserang’ di rumahnya gara-gara didakwa tidak membayar hutang ah long tetapi dia pula menjadi mangsa keadaan dan didakwa mencederakan salah seorang daripada penyerangnya.

Itu yang berlaku kepada seorang pemandu teksi, Loo Tin Fat, 47, pada 25 Ogos lalu di Kepong.

Ketika kejadian dia dan anaknya, Loo Huan Hi, 9, terkejut dengan kehadiran empat individu yang memasuki rumahnya dan pada mulanya dia enggan membuka pintu kerana khuatir keselamatan dia dan anaknya.

Bagaimanapun selepas membuka pintu, keempat-empat individu berkenaan yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita telah menyerangnya kerana mahu menuntut wang yang didakwa dipinjamnya dari ah long.

Tin Fat yang keliru ketika itu memberitahu dia tidak mempunyai wang dan tidak ada meminjam dengan mana-mana ah long.

Selepas itu, salah seorang penyerang terbabit merupakan rakan isterinya bertindak menyerang Tin Fat dengan kuali, periuk dan lesung batu sehingga menyebabkan Tin Fat cedera parah.

Keadaan lebih genting apabila wanita berkenaan cuba menyerang anaknya dengan pisau.

Bagaimanapun tiga individu lagi yang dipercayai kaki pukul  ah long cuba menghalang tindakan wanita itu sebelum berlaku pergelutan sesama mereka.

Dalam pergelutan itu, wanita berkenaan tercedera pisau. Selepas kejadian Tin Fat telah membuat laporan polis di Balai Kepong.

“Bagaimanapun wanita berkenaan membuat laporan polis yang saya pula yang menyerang dia sehingga dia cedera. Dua hari selepas kejadian saya ditahan polis kerana dakwaan menyerang wanita berkenaan,” jelas Tin Fat dalam sidang media di pejabat Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Parti Gerakan Rakyat Malaysia di sini hari ini.

Tin Fat juga menjelaskan dia tidak pernah meminjam wang dari mana-mana ah long sebaliknya mendakwa wang itu dipinjam wanita yang menyerangnya itu dengan menggunakan nama isterinya, Nguyen Thi Be Tu sebagai penjamin.

Ketika kejadian isterinya tidak ada di rumah.

Tin Fat mendakwa sebelum kejadian itu dia dan isteri tidak pernah dihubungi ah long berkenaan dan mereka tidak tahu tentang keperluan dia membayar kepada ah long berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast