Pengasas BCMY, Datuk Muhd. Azrainuddin dan Datin Nur Ezdiani Baharoddin sidang akhbar pada Sidang Kemuncak Fintech Asia Tenggara 2017 di sini baru-baru ini.

KUALA LUMPUR  – BCMY Pte Ltd. (BCMY) yang membangunkan aplikasi Blockchains.My telah dijemput ke Switzerland untuk memperkenalkan produk tersebut di hadapan beberapa pemain utama di sana.

BCMY merupakan syarikat bumiputera yang didaftarkan di Singapura dan memperkenalkan sebuah platform mata wang digital.

Pengasas syarikat, Datuk Muhd. Azrainuddin berkata, peluang ini merupakan satu pengiktirafan buat syarikat untuk mempromosikan hasil buatan anak tempatan yang telah mengambil masa kira-kira setahun setengah bagi membangunkan produk tersebut.

“Pemilihan ini dibuat berdasarkan kejayaan syarikat mendapat tempat ketiga bagi kategori trek inovasi di Swiss Innovation Challenge 2017 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti of Applied Sciences and Arts Northwestern, Switzerland.

“Pemilihan Blockchain.My untuk membuat penerangan di Switzerland pada bulan ini anjuran universiti tersebut berdasarkan kepada beberapa kriteria.

“Antaranya ialah teknologi mywallet pertama yang menggabungkan sistem NFC dengan kad debit dan ia juga merupakan sebuah aplikasi yang tidak memerlukan kehadiran orang tengah dan juga sandaran seperti emas sebelum melaksanakan transaksi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Sidang Kemuncak Fintech Asia Tenggara 2017 di sini baru-baru ini.

Turut hadir pengasas bersama syarikat, Datin Nur Ezdiani Baharoddin.

Selain itu, BCMY juga telah menyertai acara World Blockchain Forum 2017 di Oval Space, London yang mana ia memberi peluang bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan pemain utama yang terlibat dalam mata wang digital global, tukaran mata wang asing digital dan juga sektor kewangan.

Muhd. Azrainuddin merupakan salah seorang daripada ahli panel yang membincangkan isu berkenaan pada acara tersebut.

Ditanya mengenai sambutan dan juga pengetahuan masyarakat tempatan mengenai teknologi blockchain ini, Ezdiani menjelaskan, sehingga kini aplikasi tersebut telah dimuat turun oleh lebih daripada 3,000 pengguna dari seluruh dunia.

“Sebanyak 60 peratus daripada muat turun itu datangnya daripada pengguna di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette