Persembahan ko sert Raaja the One Man Live in KL 2017 di Axiata Arena Bukit Jalil malam tadi. Foto: My Events International

KUALA LUMPUR – Tiada kata-kata yang boleh mengambarkan persembahan komposer muzik tersohor dari India, Maestro Ilayaraaja malam tadi.

Lebih 13,000 orang membanjiri Stadium Tertutup Axiata Arena yang mana berlangsungnya Raaja The One Man Live in Kuala Lumpur 2017 di Bukit Jalil selepas menantikannya lebih dua bulan lalu.

Konsert yang bermula bermula pukul 8.15 malam ‘dihujani’ dengan muzik Raaja yang menyentuh sanubari setiap peminatnya yang hadir.

Orang ramai sudah memenuhi stadium seawal 7 malam lagi melakukan hormat berdiri  melihat memunculan julung kali Ilayaraaja bersama 100 artis, penyanyi dan orkestra di atas pentas.

Maestro muzik India tersohor, Ilayaraaja memberi hormat kepada penonton yang hadir ke konsert beliau di Bukit Jalil semalam. Foto: My Events International.

Persembahan bertambah hangat apabila lagu ciptaan beliau bermula tahun 1980 sehingga tahun tahun 2000 dipersembahkan.

Hampir setiap lagunya menerima tepukan dan sorakan penonton tidak kira lagu Tamil bergenre melodi cinta, sedih, gazel, motivasi, tradisional atau rock.

Ketika persembahan, ada beberapa penonton menangis gembira kerana tidak dapat mengawal emosinya terhadap muzik Raaja dengan lagu popular kegemaran mereka dari filem box office lakonan Rajinikanth dan Kamal Haasan seperti Nayagan dan Thalapathi dialunkan.

Ilayaraaja semasa membuat persembahan muzik bersama 100 ahli orkestra dan artis dari India disaksikan penganjur, Shahul Hameed di Axiata Arena Bukit Jalil semalam. Foto: My Events International.

Penyanyi popular antaranya Mano, S.Chitra, Hariharan, Karthik, Madhu Balakrishnan serta beberapa penyanyi dan artis sokongan memeriahkan konsert yang sama.

Oleh kerana mahu memastikan penyampaian lagu dan persembahannya 100 peratus sempurna, Raaja juga membetulkan beberapa lirik awal lagunya yang tidak dinyanyikan betul mengikut lirik asal.

Beliau juga berkongsi kisah kelahiran lagu yang dimuzik beliau untuk sesebuah filem lakonan bintang terkenal seperti Kamal Haasan dan Rajinikanth.

Walaupun sudah hampir 50 tahun penglibatannya dalam industri muzik Tamil selama ini, setiap lagu dan muzik beliau terbukti masih bernyawa dan mampu mengikat hati kanak-kanak generasi muda sekarang.

Persembahan tanpa henti selama lima jam itu merupakan Konsert India terbesar Asia setakat ini menerusi penampilan Raaja dan ternyata bertaraf antarabangsa.

Krew teknikal teknologi muzik yang juga diturunkan khas dari India telah meletakkan kualiti Konsert Raaja berkelas dunia seiring persembahan  artis luar negara bertaraf antarabangsa yang pernah dianjurkan.

Kepuasan maksimum terpancar pada muka setiap orang yang hadir untuk persembahan malam tadi dengan bayaran tiket bernilai RM88 hingga RM480 yang habis dijual.

Turut hadir Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.S. Subramaniam bersama isteri, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan dan Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Abdul Kader.

Legenda Muzik tersohor India, Maestro Ilayaraaja (dua kiri) dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dengan gelaran profesor oleh Universiti Metropolitan Asia pada Konsert Raaja the One Man Show in KL 2017 di Bukit Jalil semalam. Foto: My Events International.

Pada majlis yang sama, Ilayarajaa diraikan ke atas sumbanganya selama 50 tahun dalam dunia muziknya dengan dianugerahkan Ijazah kehormat Falsafah Kedoktoran bergelar profesor oleh Asia Universiti Metropolitan Asia (AMU), Kuala Lumpur dengan disaksikan oleh penganjur konsert berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif MyEvents International, Shahul Hamid Dawood.

Shahul menyatakan kegembiraannya menjayakan konsert Raaja setelah berusaha selama empat tahun untuk membawa lagenda muzik India dan universal itu ke Malaysia.

Dipentas sama, Raaja turut memuji inisiatif My Events yang menemukannya dengan peminat setia di Malaysia selain memberi sumbangan pembiayaan kewangan berbentuk biasiswa bernilaiRM300,000 kepada seorang pelajar perubatan tempatan dari AMU.

Program berjalan lancar dan berakhir sekitar 1.30 pagi. – MalaysiaGazette