Home Nasional Penjenayah cuba lepaskan diri ditembak

Penjenayah cuba lepaskan diri ditembak

KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah yang cuba melepaskan diri daripada buruan polis cedera terkena satu das tembakan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) awal pagi ini.

Kejadian itu berlaku pada pukul 2.15 pagi semasa suspek yang memandu kereta bertindak melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail dengan membuat pusingan U.

Kereta polis dari Kontinjen Kuala Lumpur bertindak mengejar suspek ke Kampung Kayu Ara hingga ke LDP semula.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek bertindak memandu secara melawan arus di LDP dan menghala ke Puchong.

Kereta yang dipandu suspek berusia 33 tahun itu kemudian melanggar bahu jalan lalu berhenti.

Suspek cuba melarikan diri dengan memanjat pembahagi jalan untuk memasuki persimpangan Jalan SS2/75.

Anggota polis bertindak melepaskan satu das tembakan dan terkena bahagian belakang badan suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Sebelum ini suspek dipercayai terbabit dalam kes jenayah pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malah, kereta yang digunakan dalam kejadian awal pagi ini juga didapati kereta yang dicuri di Damansara.

Mohd Zani berkata, suspek yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia dalam keadaan stabil. – MalaysiaGazette