Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyediakan satu mekanisme penguatkuasaan berkesan bagi membanteras dan mencegah penipuan skim-skim pelaburan tanpa perlu menunggu mangsa untuk membuat laporan.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) perlu sentiasa bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengambil tindakan sesuai mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak terlalu mudah terpedaya menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan yang menjanjikan kadar pulangan atau keuntungan tidak munasabah.
“Malah penipuan ini menjanjikan pulangan pelaburan yang jauh lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen untuk ‘pelaburan’ mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan polis menerima laporan kerugian kira-kira RM4.4 bilion melibatkan 24 penipuan skim pelaburan di negara ini sejak Julai 2013 hingga September lepas.
Acryl Sani berkata, dalam tempoh berkenaan, pihaknya menerima lebih 2,500 laporan membabitkan 1.7 juta mangsa bagi kes penipuan berkenaan.
Fuziah juga mempersoalkan undang-undang sedia ada gagal membanteras penganjuran skim penipuan yang kini dalam skala besar dan membimbangkan.
“Mana-mana pihak yang terbabit dengan skim pelaburan haram ini seharusnya tampil membuat laporan polis.
“Syarikat terlibat boleh disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.
Katanya, orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak berkaitan dan perbankan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat seharusnya disemak terlebih dahulu dengan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.
Katanya lagi, syarikat-syarikat pelaburan yang telah dikenal pasti melakukan kesalahan harus segera disiasat dan diambil tindakan oleh BNM.
“Segala aset-aset dan akaun bank syarikat terbabit harus dibekukan kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen yang sah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast