KUALA LUMPUR – Perdana Menteri membidas pengkritik yang terus mempersoalkan isu lawatannya keluar negara tajaan syarikat swasta sambil menyifatkan golongan itu separuh gila.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau pelik kerana syarikat tersebut membayar sendiri lawatan itu dalam usaha membantu kerajaan melaksanakan sesuatu prosedur secara telus.
“Yang ikut rombongan syarikat swasta berpotensi untuk melabur atau mencari melabur seperti Proton, Petronas, Yinson, Sapura Energy, Top Glove dan syarikat semi konduktor, mereka sertai rombongan dan bayar kos sendiri.
“Itu pun jadi salah? Jadi negara ini kalau kita layan sangat yang curi, sakau dan rompak itu dipuja, tetapi kita cuba jalankan program cara bersih itu dicerca.
“Ini dipanggil jaman edan, separuh gila,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Townhall sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) & Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM1 juta untuk sewaan penerbangan khas bagi lawatan rasmi Perdana Menteri ke lima buah negara, baru-baru ini.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan hanya membelanjakan RM1.662 juta atau 27 peratus daripada kos penerbangan khas manakala delegasi perniagaan menanggung sendiri 73 peratus daripada jumlah itu sebanyak RM4.5 juta.
Jelas Fahmi, syarikat-syarikat yang mengikuti rombongan itu mempunyai niat untuk meluaskan potensi pelaburan.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui kestabilan politik, dasar yang jelas serta komitmen perkhidmatan awam menjadi rahsia kejayaannya memimpin Kerajaan Madanu sepanjang dua tahun ini.
Beliau turut memuji rakyat negara ini yang sedia bersama dengan kerajaan dalam melonjakkan Malaysia ke persada dunia.
“Satu kenyataan yang harus dingat, dimungkinkan kerana sistem politik yang stabil.
“Kestabilan itu berkat kerjasama pimpinan negara. Banyak anjakan dilakukan dan keberkesanan pelaksanaan dan dasar ini adalah kerana komitmen dan iltizam barisan penjawat awam yang menunjukkan kesediaan mereka lakukan reform dan perubahan. Pelaksanaan jauh lebih cekap sekarang,” katanya.
Anwar juga mengulangi komitmennya untuk menamatkan amalan rasuah termasuk memastikan setiap dana memperoleh kelulusan perolehan melalui prosedur telus.
Namun akui beliau ia bukan mudah untuk dilaksanakan kerana memerlukan tekad politik yang kuat,katanya. – MalaysiaGazette

















