Home Utama Malaysia tidak import produk Instant Hotspot

Malaysia tidak import produk Instant Hotspot

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan Malaysia tidak mengimpot produk Instant Hotpot yang mengandungi daging yang juga dikenali sebagai Ba Shu Hotpot atau Ba Shu Lan Ren.

“Berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia, tiada pengimportan bagi produk daripada syarikat terlibat ke negara ini.

“Semua makanan yang diperbuat atau diimport ke negara ini perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian berhubung laporan akhbar yang menyebut Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) Singapura melarang pengimportan produk Instant Hotpot yang mengandungi daging.

Larangan itu kerana AVA Singapura hanya membenarkan pengimportan produk makanan yang mengandungi daging daripada sumber yang diluluskan olehnya.

Dr. Noor Hisham berkata, kementerian itu sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). – MalaysiaGazette