Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (tengah) menunjukkan CD mengandungi rakaman audio pengakuan balu penyiasat persendirian (PI) P. Balasubramaniam ditaja Americk Sidhu dan PKR di pejabat NGO itu di Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa mempunyai cakera padat (CD) bukti pengakuan balu penyiasat persendiran, mendiang P. Balasubramaniam (Bala) ditaja oleh PKR.

Presidennya, Ramesh Rao berkata, CD yang mengandungi rakaman suara A. Santamil Selvi berdurasi 26 minit 32 saat itu merupakan pengakuan balu Bala yang mendedahkan dalang yang membiayai dan mengarahkannya membuat pengakuan palsu.

“Saya akan kemukakan bukti audio ini dan kita akan beri kepada peguam Datuk Seri Najib (Razak) biar mereka menayangkan, biar hakim dengar sendiri pengakuan Selvi.

“Siapa yang suruh Selvi saman Najib, siapa bagi Selvi duit bulanan dan siapa yang suruh, bukti cukup dalam CD.

“Bukti ini saya akan kemukakan di mahkamah dan biar mahkamah tahu apa yang berlaku sebenar-benarnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (kiri tengah) bercakap kepada pemberita mengenai bukti pengakuan balu PI Bala ditaja Americk Sidhu dan PKR untuk mengekalkan kes mahkamah ke atas Perdana Menteri dan isteri di pejabat NGO itu di Petaling Jaya, semalam.
Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta tujuh yang lain untuk memfailkan pembelaan mereka berhubung saman yang difailkan oleh balu Bala.

Saman itu difailkan oleh A. Santamil Selvi dan anak-anaknya. Santamil adalah balu Bala yang terbabit dalam kes warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dijumpai mati akibat diletupkan.

Ramesh juga menyifatkan tindakan balu Bala sebagai politik murahan apabila beliau diugut oleh Selvi supaya membayar pampasan sehingga RM1 juta jika mahu balu Bala itu menarik balik kes mahkamah berkenaan.

“Saya tak janji bayar RM1 juta. Dalam audio itu dia buat pengakuan siapa yang cari saya. Selvi yang cari saya, Selvi yang pujuk saya. Selvi minta pertolongan bantu pendidikan anak-anak dia, saya tak pernah pujuk dia atau pergi cari dia.

“Bila saya isu tarik balik kes dalam mahkamah itu, timbul pula isu RM1 juta, dia minta RM1 juta, kenapa dia minta RM1 juta, dia kata dia nak selesaikan duit peguam, dia nak itu, dia nak ini, dia nak buat sesuatu untuk hidup dia,” dakwanya.

Katanya lagi, pengakuan dalam CD itu turut mendedahkan saman itu dilakukan oleh balu PI Bala semata-mata untuk mengekalkan kes itu di mahkamah dan memastikan nama baik Perdana Menteri dan isteri terpalit dengan dakwaan palsu itu.

“Setiap bulan dia menerima gaji sebanyak RM4,000 daripada Sivarasah, dalam audio dia mengaku, jadi ditanya lagi, adakah kamu tahu apa yang ditulis oleh Americk Sidhu dalam surat tuntutan? Dia cakap tak tahu, dia langsung tidak tahu apa yang berlaku, kos guaman, semua Americk bayar.

“Dia kata tujuannya untuk mengekalkan kes Bala ini kononnya dibunuh oleh Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah. Tambahan pula PRU-14 dah nak datang, untuk mengalihkan isu dia beritahu media kononnya Najib zalim sangat terhadap kaum India,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast