Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diriingi Presiden MyPPP, Tan Sri Datuk Seri M. Kayveas dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memotong kek pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali myPPP 2017 di Little India, Brickfields Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2017.
KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (MyPPP) mengharapkan Bajet 2018 yang bakal dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini memberi lebih perhatian kepada menangani peningkatan kos sara hidup.
Presidennya, Tan Sri M. Kayveas berkata, kerajaan perlu lebih agresif dalam tindakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap sesetengah peniaga yang menyalahgunakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menaikkan harga.
“Untuk Bajet 2018, satu perkara yang amat penting adalah kos sara hidup. Walaupun Malaysia hanya mengenakan GST enam peratus, lebih rendah daripada 200 negara lain, namun iai disalah guna oleh peniaga-peniaga tertentu.
“Kerajaan dalam Bajet 2018 mesti ada satu pemantauan ketat perlu dibuat dan untuk menurunkan kos sara hidup. Kita perlu kawal peniaga dalam Bajet akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Deepavali anjuran MyPPP di Little India, Brickfields, di sini, hari ini.
Pada 15 Jun lalu Perdana Menteri dalam ucaptama ketika mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2018 di Kementerian Kewangan di Putrajaya berkata, Majlis Konsultasi yang diadakan setiap tahun adalah bagi mendengar pandangan dan cadangan rakyat sama ada sektor awam, swasta dan NGO dalam menggubal bajet negara.
Mengulas lanjut, Kayveas juga menggesa Bajet 2018 turut memperkenalkan polisi baharu bagi mengurangkan peranan orang tengah dalam menangani kos sara hidup tinggi.
“Saya rasa yang penting kita perlu hapuskan peranan orang tengah yang mengenakan kos barang yang sangat tinggi hingga membebankan rakyat di peringat akar umbi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast