Peter Bellew

KUALA LUMPUR – Khidmat negara. Demikian alasan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines berhubung berita yang tersebar mengatakan beliau akan kembali semula kepada syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryanair.

Beliau juga menafikan terdapat campur tangan kerajaan dan Khazanah Nasional Bhd., selaku pemilik syarikat penerbangan nasional itu di dalam membuat sebarang keputusan.

Mengaku Malaysia Airlines adalah istimewa namun Peter menyatakan perasaan tidak sabarnya untuk kembali ke pangkuan keluarga dan sahabat handai di Ireland.

Berikut adalah jawapan penuh Peter Bellew berhubung berita yang tersebar sejak semalam:-

“Ini merupakan maklum balas peribadi dan tidak mewakili MAS secara korporat.

Saya harap ia mampu menjawab kesemua persoalan yang ditanyakan kepada saya sejak semalam.

Malaysia Airlines adalah istimewa. Bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tetapi salah satu simbol kemegahan paling awal dilihat dunia  pada  negara hebat ini.

Rakyat tidak pernah hilang rasa kasih kepadanya dan hampir keseluruhan rakyat di negara ini berharap Malaysia Airlines akan kembali menjadi kebanggan Malaysia.

Memulihkan Malaysia Airlines bukanlah tugas mudah.

Kejayaan sudah hampir dicapai. Cuma tinggal sekitar 4-5 peratus perolehan sebulan dan ia akan kembali mencatat keuntungan.

Bukan mudah untuk merekod untung tetapi perolehan pada suku kedua telah meningkat sebanyak 7 peratus.

Produk semakin hebat: pesawat badan lebar, lounge, program kesetiaan, laman web baharu dan operasi yang lebih baik di Kuala Lumpur.

Cuma tinggal sedikit usaha lagi di bahagian makanan. Jom! Masih banyak yang boleh dilakukan.

Tolong jangan ubah jenama ini.

Terlalu banyak usaha telah dilakukan di peringkat global melalui media dan ejen pelancongan untuk membangunkan semula warisan ini. Orang ramai suka Malaysia Airlines dengan apa yang dimilikinya selama ini.

Jenama ini kini semakin bersinar dari China ke United Kingdom dan turun ke bawah ke Australia. Usaha ini perlu diteruskan dan akan menghasilkan pertumbuhan perolehan sekurang-kurangnya 5 peratus.

Terdapat banyak laporan berita mengenai Khazanah (Nasional Bhd.).

Biar saya jelaskan. Khazanah adalah sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan. Mereka memberi sokongan padu kepada saya dan syarikat.

Setiap hari saya cuba menjadi telus dengan memasukkan mereka dalam setiap mesyuarat penting serta memaksa kakitangan mereka untuk bekerja dengan kami.

Ia berjaya. Tiada campur tangan. Walaupun mungkin saya menyebabkan Khazanah mengamuk kerana sering bertanya pelbagai soalan serta membuat pelbagai permintaan, jujur saya katakan, ucapan terima kasih masih belum mencukupi untuk menyatakan penghargaan kepada Khazanah kerana mempercepatkan proses transformasi kami.

Tan Sri Azman (Mokhtar) telah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Terima kasih Khazanah.

Ramai orang bertanya kepada saya, bagaimana saya boleh bertahan dengan campur tangan kerajaan. Sebenarnya, tiada campur tangan daripada kerajaan. Sifar.

Jadi mengapa saya meninggalkan Negaraku?

Cinta kepada negara menyebabkan saya pulang ke Ireland. Saya menerima panggilan daripada Ryanair pada satu petang dua minggu lalu untuk menjadi COO.

Ia adalah sebuah syarikat hebat di Ireland. Mereka perlukan saya dan ada satu cabaran besar sedang menanti di sana.

Ia adalah khidmat negara.

Apabila saya ditanya pada 27 September lalu apakah saya akan kembali ke Ryanair, saya menjawab “tidak”.

Tetapi panggilan tersebut saya terima seminggu selepas itu dan dalam hidup kita tidak boleh katakan tidak buat selama-lamanya.

Saya tidak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarga dan sahabat handai yang berada di Ireland.

Peter Bellew.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast