Takiyuddin Hassan
KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mendesak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi ruang kepada Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 dibahaskan di Parlimen pada sidang kali ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tidak wajar perbahasan pindaan Akta 355 itu dihentikan walaupun apa pun alasan sekalipun.
“Pas berpandangan adalah tidak wajar perbahasan yang telah bermula dengan pembentangannya oleh Ahli Parlimen Marang dan disokong oleh Ahli Parlimen Kota Bharu pada 6 April 2017 dihentikan.
“Perbahasan harus diteruskan sehingga akhir mengikut prosedurnya walaupun tidak boleh disempurnakan pada sesi Parlimen kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pembentangan usul RUU untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 ditangguhkan sehingga Oktober ini kerana Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menghadiri Dewan Rakyat yang bersidang semula 24 Julai lalu.
Anak sulung presiden Pas, Khalil Abd Hadi berkata, bapanya masih memerlukan satu hingga dua bulan untuk berehat selepas menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) pada 16 Mei lalu.
Takiyuddin berkata, perbahasan RUU355 di Parlimen tidak wajar dihentikan begitu sahaja walaupun keputusan untuk meminda atau sebaliknya ditentukan melalui pengundian ahli Parlimen.
“Ini seumpama kes mahkamah yang telah bermula perbicaraan tidak akan dihentikan sehinggalah ia berakhir dengan keputusan oleh hakim, bezanya Parlimen akan ditentukan melalui pengundian Ahli Parlimen,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan lagi pindaan Akta 355 hanyalah semata-mata untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan demi kepentingan umat Islam sahaja.
“Langkah segera meminda Akta 355 amat penting kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja yang kini memiliki bidang kuasa yang amat rendah sekali,” katanya.
RUU itu antara lain untuk meminda had hukuman maksimum dinaikkan daripada penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan menjadi 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast