KUALA LUMPUR – Disebalik kekalutan yang berlaku dalam Malaysia Airlines Berhad (MAS), Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa kerajaan melantik anak tempatan bagi mengetuai syarikat penerbangan negara itu.
Ujarnya, tindakan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Peter Bellew yang kembali menyertai semula syarikat lamanya, Ryanair harus diambil ikhtibar kerana perkara itu tidak akan berlaku sekiranya melantik anak tempatan sebagai CEO.
“Pemuda UMNO Kedah menyokong sepenuhnya jika tokoh seperti Tan Sri Tony Fernandez diberi ruang oleh pihak kerajaan untuk mengemudi MAS.
“Kami yakin dan percaya sudah tiba masanya kerajaan memberi kepercayaan kepada tokoh industri penerbangan tempatan bagi meneruskan legasi pemulihan MAS.
“Rekod cemerlang Tony yang berjaya menjadikan AirAsia sebagai branding terunggul negara seantero dunia adalah sandaran utama beliau perlu diberi kepercayaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shaiful Hazizy berkata, ia akan dapat memastikan program pemulihan syarikat penerbangan negara berada di landasan yang betul menerusi sentuhan anak Malaysia sendiri.
“Saya percaya Tony mampu menyahut seruan berbakti kepada negara dan saya tidak melihat sebarang masalah Tony ‘meninggalkan’ Air Asia kerana syarikat itu sekarang sudah diterajui pengurusan yang hebat hasil didikan Tony sendiri,” katanya lagi.
MAS kini mengalami kemelut apabila Bellew bertindak meninggalkan MAS secara mengejut, Rabu lalu.
Bellew dilaporkan akan kembali ke syarikat lamanya, Ryanair pada 1 Disember ini sebagai Ketua Pegawai Operasi susulan peletakan jawatan Michael Hickey. -MalaysiaGazette.
Comments are closed.