KUALA LUMPUR – Polis mengesan perubahan trend penggunaan dan pengedaran dadah di negara ini, dengan pusat hiburan kini menjadi lokasi utama aktiviti tersebut.
Jika sebelum ini kawasan terbiar sering digunakan sebagai tempat penyalahgunaan dadah, kini pusat hiburan bukan hanya di Lembah Klang tetapi di seluruh negeri menjadi tumpuan baharu bagi sindiket dan pengguna.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Superintenden Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, antara jenis dadah yang semakin banyak digunakan di lokasi ini termasuk dadah sintetik seperti ketamin dan jus ‘Ribena’.
“Sekarang mereka jadikan pusat hiburan sebagai port dadah dan kita telah mengenal pasti lokasi-lokasi ini dan akan ambil tindakan dalam masa terdekat.
“Ini adalah kaedah baru untuk pengguna-pengguna dadah. Di samping berhibur, sebenarnya mereka menggunakan pusat hiburan ini sebagai port mereka,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, sindiket menggunakan pusat hiburan bukan sahaja sebagai tempat untuk pengguna berkumpul dan mengambil dadah, tetapi juga sebagai lokasi bagi tokan kecil menjalankan aktiviti jual beli.
“Di sini juga akan berkumpul tokan-tokan kecil untuk menjual dadah,” tambahnya.
Dadah sintetik seperti ketamin, jus ‘Ribena’, dan heroin antara yang dikesan dalam kegiatan ini.
“Ya, juice pun ada. Pusat hiburan ini digunakan sebagai port mereka,” jelasnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa PDRM sedang giat mengumpul maklumat dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan tersebut. – MalaysiaGazette
















