TOKYO – Amalan pemeriksaan yang tidak betul oleh Nissan Motor Co Ltd telah berlaku sekurang-kurangnya selama 20 tahun, menurut NHK.
Nissan telah menggantung pengeluaran kenderaanuntuk pasaran Jepun sekurang-kurangnya dua minggu untuk menangani salah laku dalam prosedur pemeriksaan akhirnya, yang pertama kali didedahkan pada bulan lepas.
Skandal itu telah membawa kepada penarikan balik semua 1.2 juta kereta yang dijual di Jepun dalam tempoh tiga tahun yang lalu.
Siasatan dalaman Nissan menunjukkan sekurang-kurangnya 20 tahun pembuat kereta kedua terbesar di Jepun itu tidak mengikuti prosedur yang tepat untuk pemeriksaan akhir yang diperlukan oleh kementerian pengangkutan Jepun untuk semua kenderaan yang dijual di negara berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Keiichi Ishii berkata, pemeriksaan di kilang-kilang pemasangan Nissan sedang berlangsung, sambil menambah pihaknya tidak pasti berapa lama pemeriksaan akhir telah dijalankan oleh juruteknik dengan cara tidak betul dan melanggar keperluan kementerian.
Jurucakap Nissan enggan mengesahkan atau menafikan laporan NHK sebaliknya memberitahu sistem pemeriksaan Nissan tidak berubah selama 20 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Nissan berkata, perkara itu adalah isu berasingan dan menyifatkan komunikasi yang kurang baik di kilang pemasangan menyumbang kepada isu itu.
Katanya, Nissan akan terus mengeluarkan kenderaan di Jepun untuk eksport termasuk SUV Rogue.
Ia menghasilkan kira-kira 79,300 kenderaan penumpang dan komersial di Jepun pada bulan Ogos dan kira-kira 27,600 adalah untuk pasaran domestik yang mewakili kira-kira 6 peratus bagi pengeluaran global. – MalaysiaGazette