Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

ALOR SETAR – Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff menyifatkan Liga Malaysia 2017 merupakan musim manis buat skuad Lang Merah.

Ini kerana Kedah sekali lagi layak ke final Piala Malaysia musim ini dan di awal musim turut menjulang Piala Sumbangsih.

“Musim yang sangat manis bermulanya 2017 dengan menjuarai Piala Sumbangsih bertemu JDT dan sekali lagi akan berlaku pertemuan dengan JDT pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam di mana padang itu ramai disukai pemain-pemain bola sepak tempatan termasuk Kedah,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Felda United malam tadi, Kedah menang 2-0 atau dengan agregat 3-1.

Mengenai persiapan Kedah di final nanti, Mohd Nidzam berkata beliau akan menggunakan sepenuhnya tonggak utama termasuk Ken Ilso Larse, Liridon Krasniqi dan Khairul Helmi Johari yang tidak diturunkan malam tadi akibat kecederaan atau digantung perlawanan.- BERNAMA