KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur menafikan semua tuduhan pemilik laman Facebook “Niki Abdul Kadir” berhubung rawatan seorang pesakit melecur yang telah menjadi tular di laman-laman media sosial pada 21 Oktober 2017 lalu.
Kenyataan yang dilemparkan itu adalah tuduhan palsu dan telah mencemarkan imej Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai Pusat Rawatan Kebakaran di negara ini.
Pada tahun 2016 sahaja, Hospital Kuala Lumpur telah menerima lebih 150 kes untuk rawatan tersebut.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd Zain berkata, pesakit kanak-kanak yang dimaksudkan di dalam kenyataan agen insurans adalah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang telah melecur 10 peratus kerana terkena air panas (air rebusan ketupat) pada kejadian di rumahnya bertarikh 21 September 2017 jam 3 petang.
Selepas kejadian, pesakit dibawa ke Hospital Az Zahrah dan seterusnya dirujuk ke HKL pada hari yang sama.
Setibanya di Hospital Kuala Lumpur, beliau telah diberikan rawatan segera di bawah pengurusan Unit Rawatan Kebakaran Institut Pediatrik dan turut dirujuk kepada disiplin-disiplin yang lain kerana rawatan kebakaran memerlukan pendekatan secara holistik dan multidisiplin untuk mengoptimakan perawatan.
Pesakit telah diberikan rawatan sewajarnya iaitu cucian luka di wad mengikut rutin yang telah ditetapkan oleh pakar yang merawat termasuk pembersihan luka yang dijalankan di bilik pembedahan dengan pembiusan.
Pesakit juga diberikan ubat tahan sakit secara berkala dengan ubat-ubatan yang bersesuaian di wad bagi memastikan pesakit selesa.
“Antibiotik juga diberikan untuk menghindar dan merawat jangkitan kuman. Adalah mustahil pesakit tidak merasa sakit mahupun trauma akibat kelecuran tersebut, namun dengan rawatan dan ubat tahan sakit yang diberikan mampu mengurangkan kesakitan tersebut sebagaimana aspirasi “Pain Free Hospital” yang menjadi matlamat utama HKL.
“Pakar Perubatan yang merawat telah menetapkan satu tarikh untuk pesakit menjalani ‘Superficial Skin Grafting’, namun waris pesakit memilih untuk didiscaj sebelum tarikh prosedur tersebut untuk mendapatkan rawatan susulan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) kerana mahukan keselesaan terutamanya untuk waktu lawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Zaininah berkata, mengikut protokol Unit Rawatan Kebakaran, Institut Pediatrik, HKL hanya ibubapa/penjaga sahaja yang dibenarkan melawat dan hanya ibu atau penjaga wanita sahaja yang dibenarkan menjaga pesakit di wad.
Ibu bapa juga tidak dibenarkan berada di bilik rawatan semasa prosedur dijalankan dan protokol ini perlu mereka patuhi bagi memastikan persekitaran wad sentiasa bersih untuk mengurangkan jangkitan kuman kepada pesakit lain yang juga menerima rawatan kebakaran dan kelecuran di unit tersebut.
Jelasnya, pada 12 Oktober 2017, pesakit telah discaj dan seterusnya menyambung rawatan di SJMC setelah pakar SJMC bersetuju menerima pesakit tersebut dan keadaan luka pesakit adalah bersih dan bertambah pulih semasa discaj. – MalaysiaGazette