KAJANG – Muhammad Yusuf Azmi dan Ali Salimin dibawa ke Mahkamah Kajang untuk didakwa atas tuduhan menceroboh premis perniagaan.
Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu dan Ketua Unit Tindakan Khasnya dibawa menaiki sebuah kenderaan polis dan diiringi tiga kenderaan polis lain pada pukul 9.35 pagi tadi.
Difahamkan, beliau akan didakwa membabit tuduhan menceroboh Premis AGR Trade Sdn. Bhd. Julai lalu dibawah Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan.
Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kedua-dua anak guamnya itu diminta menyerah diri di IPD Kajang sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Kajang untuk pendakwaan.
Katanya, dua individu berkenaan akan dtuduh hari ini mengikut seksyen berkaitan.
“Semasa di dalam IPD pihak polis mengambil cap jari dan gambar mereka dan teruskan proses pendakwaan.
“Kedua-duanya dituduh melakukan perbutan khianat dan menceroboh. Kita akan tengok apa kandungan pertuduhan dan berharap mendapat jaminan yang baik dan dibebaskan hari ini,” katanya.
Hishamuddin berkata, pihaknya juga akan membuat proses mediasi (rundingan) supaya dapat mengurangkan nilai bayaran jaminan.
“Kita minta rakyat Malaysia mendoakan Yusuf Azmi dan Ali mendapat jaminan yang berpatutan,” ujarnya.
Terdahulu, Yusuf dan Ali tiba di IPD Kajang kira-kira pukul 8 pagi tadi untuk menyerah diri berhubung kes tuduhan menceroboh premis AGR Trade Sdn Bhd, Julai lalu. – MalaysiaGazette