KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak mahu perkara-perkara tertentu yang dibangkitkan oleh Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi dijadikan isu untuk menghentam persatuan itu.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, apa yang diperkatakan oleh Yusuf merupakan pandangan peribadi dan tidak melibatkan PPIM sebagai sebuah NGO.
“Kita ini merupakan NGO yang berusaha melindungi hak pengguna. Kalau pihak pentadbiran ada masalah pun kita akan berusaha bantu dan akan tegur siapa-siapa yang ada lakukan kesilapan membabitkan pengguna.
“Salah tafsiran yang kita lihat hari ini membuat kita (PPIM) rasa terpanggil untuk memberikan penjelasan. Jangan nak kata kita ni nak sokong mana-mana ke atau apa.
“Kita sudah 20 tahun (tertubuh), dan saya tidak tidak pernah buat apa-apa kenyataan yang berat sebelah membabitkan pengguna,” katanya pada sidang media di sini petang tadi.
Nadzim bagaimanapun mengakui kenyataan Yusuf yang ‘gatal mulut’ menyebut sesuatu yang berkaitan politik telah menimbulkan fenomena hangat di media sosial.
Hari ini, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengeluarkan kenyataan memberi nasihat kepada Yusuf yang dikatakan berhasrat mahu menubuhkan parti politiknya sendiri.
Menurut Armand, Yusuf tidak perlu merasakan dirinya terlalu ‘hebat’ hingga menyalahkan orang lain.
Semalam, Yusuf ketika ditemui wartawan selepas dibebaskan dengan jaminan di Kompleks Mahkamah Kajang memberitahu secara berseloroh mahu menubuhkan sebuah parti baharu yang lebih dinamik.
Langkah itu katanya, sebagai satu cara untuk menarik lebih ramai lagi individu yang mempunyai jiwa dan semangat bagi membantu pengguna dalam kes-kes penipuan selepas merasakan dirinya teraniaya ekoran di dakwa di mahkamah.
Orang kuat PPIM itu juga mendakwa ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mahu mereka dipenjarakan.
Yusuf bersama seorang lagi, Ali Salimin yang merupakan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM didakwa di Mahkamah Majistret Kajang semalam atas dua pertuduhan melakukan khianat dan pencerobohan sebuah stor kereta di sini pada Julai lalu. – MalaysiaGazette
Yusuf kena pilih NGO atau politik – Armand
Comments are closed.