KUALA LUMPUR – Kes buang bayi masih lagi meningkat setiap tahun, bagaimanapun inisiatif kerajaan memperkenalkan kemudahan Baby Hatch berjaya memberikan impak positif dan menyelamatkan banyak nyawa bayi yang tidak bersalah, kata Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kemudahan yang diperkenalkan itu berjaya menyelamatkan 43 bayi sejak 2010 sehingga Jun 2017.
“Bagi menangani kes pembuangan bayi, program Baby Hatch melalui kerjasama antara kementerian dengan Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur (OrphanCARE) telah memperlihatkan impak positif daripada segi bilangan yang diselamatkan,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Statistik 2010 hingga 2016 menunjukkan seramai 35 bayi telah diselamatkan, manakala statistik dari Januari hingga September 2017 pula seramai 11 bayi telah diselamatkan.
Namun, Rohani berkata, kes pembuangan bayi masih tidak dapat dihentikan malah ia meningkat setiap tahun.
Berdasarkan statistik polis, kes pembuangan bagi tempoh 2013 hingga 2016 meningkat setiap tahun.
Pada 2013, jumlah kes adalah 90, seterusnya 2014 meningkat kepada 104 kes dan meningkat lagi pada 2015 dan 2016 dengan masing-masing sebanyak 111 kes dan 115 kes.
Statistik terkini kes buang bayi bagi tempoh Januari hingga Jun 2017 adalah 59 kes.
Keseluruhan kes bagi tempoh 2013 hingga 2017 adalah sebanyak 478 kes. – MalaysiaGazette