Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri tidak mencerminkan realiti masalah kehidupan rakyat jelata.

Malah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa bajet kali ini juga besifat defisit yang terus melebarkan jurang perbezaan antara kaya dan miskin.
“Bajet berjumlah RM280.25 bilion kali ini adalah defisit seperti tahun tahun lepas dari BN dan satu perbelanjaan ke arah Pilihan raya sahaja.
“Isu yang menyelubungi permasalahan rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), peluang pekerjaan, rasuah, penyelewengan gagal diberi keutamaan dalam bajet kali ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang itu juga mengulangi pendirian bajet lebih kearah ‘memancing’ undi pilihan raya itu tidak akan mengugat peluang Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya.
“Saya rasa bajet ini dan segala insentif untuk wanita, tentera, penjawat awam, warga peneroka Felda dan sebagainya tidak akan menjejaskan harapan pembangkang.
“BN tak fokus isu GST, kleptokrasi, masalah asas pengurusan ekonomi tidak diambil kisah langsung,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menuduh Bajet 2018  sebagai ‘gula-gula’ menjelang pilihanraya umum.

Menurutnya, masih ada banyak lagi perkara yang diselindungi oleh kerajaan dan tidak diumum pada pembentangan bajet kali ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Masih ada lagi projek besar yang jumlah perbelanjaannya tidak disebutkan seperti projek high speed rail (keretapi laju).

“Saya bimbang bagaimanakah bajet ini hendak dibiayai. Adakah sumber aliran wang tunai kerajaan mencukupi untuk membuat pembiayaan tersebut.

“Ini juga tidak termasuk kontinjen liabiliti iaitu bayaran yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan disebabkan hutang-hutang yang lepas. Apakah kerajaan akan membuat pinjaman kepada KWSP dan sebagainya,” katanya menerusi Facebook rasmi PPBM hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, jika kerajaan membuat pinjaman untuk melaksanakan apa yang telah diberitahu, ia merupakan satu langkah tidak bijak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast