KUALA LUMPUR – Seperti biasa, pembangkang tidak akan bersetuju dengan bajet yang dibentangkan kerajaan saban tahun.
Kali ini, Ketua Penerangan Pakatan Harapan, Tony Pua mendakwa segala ‘hadiah’ yang diberi dalam Bajet 2018 akan meningkatkan cukai kepada rakyat termasuk pemansuhan tol.
Beliau yang juga wakil rakyat DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mahu menteri kabinet menerangkan kepada rakyat bagaimana kos yang dimansuh itu ditampung kerajaan.
Beliau dalam siaran FB Live petang tadi juga mendakwa pemansuhan tol itu selama ini dituntut pembangkang tetapi kerajaan mendakwa negara akan muflis jika berbuat demikian.
Bagaimanapun apa yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu bukti tuntutan pembangkang sebelum ini mampu dilakukan, kata Tony.
Justeru, Tony meminta rakyat supaya memilih pembangkang sebagai kerajaan baharu kerana mendakwa ‘hadiah’ dalam bajet kali ini akan menyeksa mereka dalam bentuk cukai pendapatan.
“Ini bukan jenis kerajaan yang kita mahu. Rakyat mahu kerajaan bersih, boleh diharap dan bukan melalui ‘hadiah’ yang dilihat baik sahaja.
“Kita mahu kerajaan yang bukan sahaja menjamin kehidupan kita tetapi juga generasi akan datang,” ujarnya.- MalaysiaGazette