KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaikan bermimpi di siang hari apabila mendakwa Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meniru beberapa program kebajikan Pakatan Harapan di negeri itu.
Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tuduhan Azmin tidak berasas sebaliknya bajet Kerajaan Persekutuan sering diguna pakai pembangkang.
“Itu kenyataan syok sendiri saja, sebenarnya apa yang dibuat dalam pembentangan Bajet 2018 semua itu adalah idea-idea yang bernas dan mampu diimplementasikan.
“Pada saya, mana nak tiru Selangor, (sebaliknya) Selangor yang selalu tiru Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Perkahwinan Kuala Lumpur di Hotel Premiera, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Azmin semalam yang menulis dalam akaun Twitternya mendakwa Bajet 2018 mengguna pakai dasar kebajikan yang dilaksanakan di Selangor.
Ahli Parlimen Gombak berkata, antara program kebajikan yang ditiru dan diolah menjadi Bajet 2018 ialah Selangor Brain Bank, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Program TVET Selangor.
Shahrizat selaku Ketua Wanita UMNO turut menafikan Bajet 2018 sebagai gula-gula pilihan raya kepada rakyat, sebaliknya belajawan itu dibentangkan semata-mata demi memperkukuhkan ekonomi negara saban tahun.
“Tidak (gula-gula)…bagi saya tiap-tiap bajet yang Datuk Seri Najib bentangkan adalah untuk kekuatan negara, sebab di Malaysia ini tiap-tiap adalah hari pilihan raya, bukan hanya PRU sahaja atau PRK sahaja,” katanya. -MalaysiaGazette
tiru meniru untok kebaikan rakyat tak mengapa jangan meniru buat cukai bebankan rakyat . nama je diubah dengan macam² cukai