Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berucap pada Majlis Pelancaran Kuala Lumpur Wedding Festival di Hotel Premiera Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 OKTOBER 2017
KUALA LUMPUR – Golongan wanita dinasihatkan tidak hanya melihat Bajet 2018 hanya kepada peruntukan dan kemudahan yang disediakan kepada mereka sebaliknya merebut semua peluang yang disediakan oleh kerajaan.
Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mereka sepatutnya tidak menyekat diri sendiri hanya merebut peluang yang berasaskan golongan itu sahaja.
“Wanita jangan sekatkan peluang kita hanya kepada pakej-pakej yang diberi untuk wanita. Kita mesti meraih semua pakej pembentangan bajet.
“Masanya sudah tiba untuk wanita untuk melebarkan sayapnya, tapi wanita tidak sepatutnya tengok bajet mana yang sebut nama wanita, sebut nama keluarga saja.
“Kita wanita mesti ada kebijaksanaan mesti ambil peluang yang diberi untuk semua sektor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Perkahwinan Kuala Lumpur di Hotel Premiera, di sini, hari ini.
Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil melawat tapak pameran pada Majlis Pelancaran Kuala Lumpur Wedding Festival di Hotel Premiera Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 OKTOBER 2017
Shahrizat selaku Ketua Wanita UMNO juga berkata, Bajet 2018 kali ini direkabentuk supaya adil kepada semua gender dan tiada satu golongan yang mendapat manfaat yang lebih daripada golongan lain.
“Tiada satu pun yang lebih daripada yang lain, macam tahun lalu memperkasakan wanita, ia diberikan kepada semua peringkat sama ada anak-anak, diri sendiri, ibu bapa, dan juga untuk suami kita.
“Pada saya kita kena tengok untuk wanita, kita jangan tengok bajet hanya ada sebut nama wanita sahaja,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia yang ikhlas dan bijaksana dalam kepimpinan dan pentadbirannya.
“Rugi rakyat kalau tidak menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional kerana apa kerana beliau mampu membawa Malaysia ke satu tahap kecemerlangan dan menentukan kestabilan negara,” katanya. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast