Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kampar, Chung Sen Ko kononnya Bajet 2018 memotong peruntukan ubat-ubatan di hospital di negara ini.

Ujarnya, tuduhan tersebut tidak berasas kerana dalam perbentangan Bajet pada Jumaat lalu jelas menunjukkan peningkatan.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak katanya lebih prihatin terhadap masyarakat dengan meningkatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

“Bajet untuk Kementerian Kesihatan adalah RM27 bilion tambah RM2 bilion daripada tahun lepas. Pada keseluruhannya ada penambahan bajet untuk kementerian pada tahun hadapan.

“Ia bukan pemotongan bajet, ada beberapa perkara di mana ada pengumuman baru daripada sudut itu. Saya tidak nampak peruntukan untuk kementerian berkurangan daripada tahun lalu,” katanya katanya dalam sidang media di ibu pejabat MIC hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presidennya, Datuk Seri S.K Devamany dan Naib Presiden, Datuk M. Sarawanan.

Sen Ko dalam Facebook rasmi beliau pada Jumaat lalu berkata Najib telah memotong peruntukan untuk ubat-ubatan sebanyak RM65.051 juta dalam perbentangan bajet 2018 lalu.

“Najib juga telah memotong pembiayaan untuk membina hospital baru sebanyak RM30.321 juta. Keseluruhannya RM95.373 juta. Ini adalah bajet yang menyedihkan kerana kerajaan dijangka merawat lebih banyak pesakit berbanding sebelum ini.

“Tahun lepas kerajaan memotong belanjawan untuk ubat sebanyak RM300 juta dan ramai pesakit sudah tidak dapat untuk membeli ubat. Ada duit untuk membeli Boeing tetapi kurang wang untuk membeli ubat dan tawaran hospital,” tulis Sen Ko pada Jumaat lalu.

Dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM27 bilion bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada semua rakyat negara ini.

Sejumlah RM2.5 bilion bagi pembelian ubat-ubatan, RM1.6 bilion diperuntukkan untuk barangan ‘consumable’ serta RM1.4 bilion lagi menaiktaraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulan. -MalaysiaGazette.