Budiman Mohd Zohdi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi digesa menguruskan pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang diwujudkan semula dalam Bajet 2018 bagi menjana kembali pendapatan industri buku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Dasar Buku Negara, Budiman Mohd. Zohdi berkata, pemantauan khusus perlu diberikan dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) bagi mengatasi masalah ketirisan dana itu yang merugikan industri buku.

“Saya mencadangkan KPT menguruskannya dengan kolobrasi rapat MABOPA untuk mengenal pasti senarai penerbit yang layak menerima Baucar Buku daripada pelajar.

“Ia bagi mengelakkan ketirisan yang membolehkan pelajar membeli barangan lain (bukan buku) atau pun ditukar menjadi tunai RM250 daripada ‘jerung’ baucar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, pada Jumaat lepas, Bantuan Baucar Buku bernilai RM250 diperkenalkan semula bakal memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan tingkatan enam.

Mengulas lanjut, Budiman selaku Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, pelaksanaan Kad Debit-i Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M Debit-i) pada 2017 didapati paling teruk ketirisannya apabila pelajar boleh mengeluarkan tunai RM250 terus daripada mesin ATM, tanpa perlu membeli buku.

“Menurut statistik daripada penerbit buku, pembelian buku melalui KADS1M tidak sampai 10 peratus.

“Malah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 pada April lalu merupakan jualan terendah pernah dicatatkan oleh semua penerbit buku tempatan dalam 10 tahun mutakhir ini,” tegasnya.

Budiman berkata lagi, dengan kerjasama erat antara KPT, MABOPA, IPT, sekolah dan pelajar, pelaksanaan Baucar Buku ini, ia akan mendatangkan manfaat besar kepada semua pihak.

“Setiap buku yang dibeli, ia memanfaatkan penerbit dan penulis; setiap buku yang dibaca, ia mengintelektualkan pelajar; setiap buku yang difahami, ia memandaikan akal budi bangsa Malaysia,” katanya lagi.

Selain Baucar Buku, Bajet 2018 juga turut memperkenalkan dasar pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan memberi kadar sifar kepada bahan bacaan meliputi majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala bermula 1 Januari 2018. – MalaysiaGazette