KUALA LUMPUR – Pendapatan isi rumah negara yang masih rendah didakwa menjadi faktor utama mengekang golongan rendah dan sederhana membeli kediaman sendiri.
Faktor itu diburukkan lagi dengan bekalan rumah yang tinggi nilainya, sekali gus menyukarkan orang ramai untuk membuat permohonan gadai janji kepada institusi perbankan.
Penganalisis hartanah, Shahrom Md Ariffin berkata, kenaikan pendapatan isi rumah perlu menjadi fokus dan keutamaan kerajaan bagi membantu rakyat memiliki kediaman.
“Kita akui ekonomi kita kukuh dan pelaburan langsung asing juga aktif namun pada masa sama isu-isu produktiviti dan kebergantungan majikan kepada buruh murah yang dilihat menyumbang kepada faktor pendapatan isi rumah perlu diberi tumpuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, suntikan kerajaan dalam projek-projek hartanah seperti yang diumumkan dalam setiap pembentangan bajet bukan penyelesaian jangka panjang kerana pendekatan itu masih belum boleh menangani isu berkenaan secara total.
“Dalam keadaan sekarang dengan gaji RM3,500 dan bujang pun belum tentu permohonan gadai janji diluluskan bank. Ini kerana setiap permohonan mengambil kira baki bersih gaji bulanan. Apatah lagi jika pekerja bergaji RM5,000 dan menjadi penyara tunggal keluarganya, keadaan lebih sukar.
“Dalam realiti sekarang, pergerakan harga rumah dan gaji tidak seiring. Selain itu, belum diambil kira kenaikan kos hidup dan inflasi,” tambah Shahrom.
Jelas beliau, kesukaran itu menyebabkan sebahagian besar pekerja, sama ada awam atau swasta tidak mampu untuk memasuki pasaran rumah.
Tambahnya, meskipun bank-bank menafikan dakwaan pemohon-pemohon kesukaran mendapat pinjaman gadai janji berdasarkan jumlah peratusan kelulusan namun ia bukan menggambarkan keadaan sebenar.
“Mungkin bank-bank betul tetapi isu tersebut perlu menilai daripada pelbagai aspek. Ia termasuk jenis hartanah, lokasi dan pelaksanaan pinjaman kediaman,” ujarnya.
Beliau yang menyokong tindakan Bank Negara Malaysia yang memperkenalkan garis panduan pembiayaan bertanggungjawab bagi mengelakkan krisis sub-prima yang meruntuhkan institusi kewangan di Amerika Syarikat berulang di negara ini.
Menurut Shahrom, untuk jangka panjang adalah lebih baik jika kerajaan mampu menangani kekurangan bekalan rumah mampu milik berbanding 80 peratus kini disediakan oleh pemaju swasta. – MalaysiaGazette