Datuk Seri Najib Tun Razak. foto SAFWAN MANSOR, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail yang mempersoalkan penginapannya semasa lawatannya ke Amerika Syarikat, September lalu.

Beliau berkata, perkara yang ditimbulkan Presiden Pakatan Rakyat itu sebagai terlalu remeh untuk dilayan sambil menegaskan Malaysia masih konsisten dengan dasar luar negara.

“Soalan-soalan itu terlalu remeh sebenarnya. Walaupun saya ada duduk di Blair House, saya ada jemputan main golf dengan Presiden Trump dan beliau juga hantar saya sampai ke kereta

“Kita tak payah nak sebut-sebut benda ini, ini bukan soal dasar, kita nak pentingkan soal dasar di mana kita dapat penghormatan yang tinggi daripada pentadbrian Amerika Syarikat,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, Wan Azizah mempersoalkan tindakan Perdana Menteri bersama rombongannya yang menginap di sebuah hotel milik Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat semasa lawatannya ke negara itu pada September lalu.

Hotel yang dimaksudkan Wan Azizah itu merujuk kepada Trump International Hotel dan sekaligus menimbulakan tanda tanya dan dipercayai wujudnya konflik kepentingan dengan White House.

Najib juga menegaskan, tindakan beliau itu juga bukan menukar dasar luar negara yang berasaskan kepada soal prinsip fundamental serta berubah mengikut keadaan dan situasi.

“Kita tidak buat pusingan U, pada pihak lain suka buat pusingan U, dulu tak setuju, sekarang setuju, dulu setuju sekarang tak setuju.

“Ini biasanya dibuat oleh pihak pembangkang. Tapi kita konsisten, Tuan Yang DiPertua boleh semak dasar luar negara, nasional kita istiqomah, konsisten sepanjang masa.

“Walaupun apa pun keadaan, kita tetap mempertahankan prinsip kedaulatan negara kita dan kepentingan nasional,” katanya lagi. -MalaysiaGazatte.