Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk mengaturkan perjumpaan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Rumah Putih pada September lalu.

Demikian kata Najib sambil menegaskan beliau tidak perlu membayar apa-apa sebagai mana yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan jemputan dengan bekas Presiden Amerika, George W.Bush.

“Jemputan Presiden Trump ini dibuat atas urusan kerajaan dan saya tidak perlu membayar apa-apa untuk jemputan tersebut. Pendahulu saya telah melakukan perkara tersebut untuk mendapatkan jemputan daripada Presiden Bush.

“Jadi kita tidak mengamalkan kaedah itu dan pendahulu saya diterima pembangkang sekarang ini…baguslah tu,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu King Sing bertanya kepada Perdana Menteri tentang kewujudan orang tengah dalam mengaturkan pertemuan di antara Najib dan Trump serta hasil perdagangan dua hala dalam mengukuhkan nilai mata wang Ringgi Malaysia di Rumah Putih, Washington, pada September lalu.

Najib juga berkata, lebihan dagangan antara Malaysia-Amerika Syarikat mencecah AS$5 bilion namun angka itu jauh lebih tinggi sehingga AS$20 bilion yang dinilaikan negara besar itu.

“Bezanya Amerika Syarikat ambil kita segala intermediate item yang kita eksport kepada negara ketiga dan dikira sebagai eksport dari Malaysia.

“Ini kita kira tak berapa adil, misalnya Intel Malaysia eksport ke Vietnam, dan Intel Vietnam import ke Amerika Syarikat, itu dikira eksport Malaysia.

“Oleh sebab itu angka Amerika Syarikat itu tinggi berbanding Malaysia, jadi kita sudah jelaskan bahawa ini sepatutnya tidak diambil kira dan mudah-mudahan usaha ini dapat meyakinkan Amerika bahawa kita mengamalkan sistem perdagangan bebas dan adil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast