Home Ekonomi Untung bersih Maybank Rp1.4 trilion

Untung bersih Maybank Rp1.4 trilion

Maybank, kumpulan perbankan yang terbesar di Malaysia dari segi aset, menjangkakan transaksi perbankan mudah alih bank itu akan melebihi RM40 bilion pada tahun ini berbanding hanya RM25 bilion yang direkodkan pada tahun lepas. 
Maybank

KUALA LUMPUR – PT Bank Maybank Indonesia Tbk (Maybank Indonesia) mengumumkan pencapaian pertumbuhan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minority (PATAMI) sebanyak Rp1.4 trilion bagi sembilan bulan pertama bagi tahun kewangan 2017.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus daripada Rp1.3 trilion yang dicapai sembilan bulan pertama 2016.

Keuntungan sebelum cukai bank (PBT) meningkat kepada 14 peratus kepada Rp2 trilion pada September 2017 berbanding Rp1.8 trilion pada September 2016.

Peningkatan prestasi didorong oleh pertambahan pinjaman terutamanya dalam Perbankan Global, pengurusan kos yang efektif serta pencapaian memberansangkan dalam Perbankan Syariah.

Maybank Indonesia juga mencatatkan pertumbuhan pinjaman sederhana sebanyak 4.6 peratus sehingga September 2017 kepada Rp121.8 trilion berbanding Rp116.4 trilion pada September 2016.

Pinjaman Perbankan Global menyaksikan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik sebanyak 29 peratus kepada Rp28.2 trilion pada September 2017 di belakang infrastruktur kewangan sejajar dengan inisiatif Kerajaan Indonesia.

Pinjaman bukan runcit dalam segmen Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) yang terdiri daripada Perkhidmatan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Perbankan Perniagaan meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada Rp51.4 trilion pada September ini berbanding Rp49.7 trilion pada tahun sebelumnya.

Manakala pinjaman runcit CFS menguncup sebanyak 6 peratus kepada Rp42.2 trilion pada September lalu disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam sektor pengguna.

Jumlah deposit pelanggan meningkat daripada Rp115.6 trilion pada September 2016 kepada Rp119.1 trilion pada September 2017 dengan nisbah Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) mencapai 38 peratus disebabkan oleh tumpuan berterusan pihak bank dalam pengurusan dana.

Hasilnya, Akaun Semasa meningkat sebanyak 10.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan 2017, mencapai Rp20.8 trilion.

Peningkatan berterusan bank terhadap saluran elektronik merangkumi kemudahan perbankan mudah alih berasaskan Internet, Maybank M2U, juga menyumbang kepada peningkatan kedudukan kecairan. – MalaysiaGazette