Othman Mustapha

KUALA LUMPUR – Bajet 2018 yang diperuntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pengurusan hal ehwal Islam mencakupi keseluruhan aspek Maqasid Syariah, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha.

Kata beliau, bajet itu telah memberi pengiktirafan kepada murabbi ummah iaitu guru Kelas Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal dan siak yang bekerja di peringkat akar umbi tanpa mengenal penat dan lelah.

“Jakim merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana telah memberikan peruntukan bagi pengurusan hal ehwal Islam dalam pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) baru-baru ini.

“Malahan bajet ini dilihat amat menyeluruh dan mencakupi keseluruhan aspek Maqasid Syariah. Para guru KAFA, guru takmir, imam, bilal dan siak turut menjadi tumpuan melalui pemberian bayaran khas one-off sebanyak RM1,500 sama seperti diberikan kepada penjawat awam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menyediakan dana sebanyak RM50 juta bagi tujuan pembaikan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan RM50 juta kepada GiatMara untuk membaik pulih serta menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

Menurut Othman, setelah menerima peruntukan berkenaan daripada Kementerian Kewangan, Jakim akan mengagihkannya kepada negeri-negeri agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkaitan. – MalaysiaGazette