Home Ekonomi Bajet 2018 bawa suara rakyat

Bajet 2018 bawa suara rakyat

DALAM pembentangan Bajet 2018 baru baru ini, rakyat Malaysia masih meneliti dan cuba memahami apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai “Ibu Segala Bajet”.

UTM Survey Research Group (UTMSRG) dengan kerjasama Yayasan Sumber Maklumat (YSM) yang telah menjalankan kajian mengenai Malaysian People Satisfaction Index (MPSI) mendapati bahawa bajet kali ini telah menjawab apa yang disuarakan oleh
rakyat terhadap pentadbiran dan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional sekarang.

Ini bermakna pihak kerajaan mendengar suara hati rakyat bagi merealisasikan dasar-dasar pembangunan berserta dengan peruntukan bajet yang sewajarnya.

Jika melihat kepada bajet tersebut, bolehlah dirumuskan sebagai bajet yang dibangunkan berasaskan kepada kajian dan pandangan daripada pelbagai pihak disusun khas bagi melonjakkan negara kepada tahap yang lebih maju dimasa hadapan.

Pihak kami telah meneliti secara ringkas dan mendapati Bajet 2018 ini boleh dihuraikan dalam beberapa aspek berikut:

  1. Dalam kajian MPSI, didapati rakyat secara konsisten menyatakan masalah peningkatan kos sara hidup. Pihak UTMSRG mendapati Bajet 2018 pihak kerajaan memahami masalah rakyat dan telah mendengar suara hati rakyat dengan menyediakan peruntukan dan inisiatif untuk mengurangkan kos hidup dalam kalangan rakyat serta memenuhi keperluan pelbagai sektor institusi, kemasyarakatan dan projek pembangunan.

  2. Kajian MPSI telah mengenalpasti people NEWS (Needs, Expectation, Want & Satisfaction). Kajian mendapati daripada 10 dimensi kehidupan, dimensi ekonomi dan dimensi urus tadbir merupakan perkara utama yang dibangkitkan rakyat. Justeru, melalui Bajet 2018 Perdana Menteri telah menyatakan usaha-usaha kerajaan bagi mensejahterakan kehidupan rakyat. Bajet ini meliputi usaha kerajaan menyantuni golongan rakyat bawahan dengan pemberian BR1M secara berterusan dan penghapusan lima plaza tol bagi melegakan kos hidup rakyat. Pengurangan 2 peratus cukai pendapatan juga melegakan ramai pembayar cukai. Pemberian baucer buku kepada pelajar juga diteruskan.

  3. Bajet 2018 juga menunjukkan kerajaan komited melaksanakan “good governance”. Kerajaan prihatin untuk meneruskan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan serta berimpak kepada rakyat. Bajet ini menekankan pembangunan prasarana, sistem pengangkutan awam yang berkualiti, menambahbaik prasarana sekolah, meningkatkan kemudahan kesihatan, memperbanyakkan projek perumahan dan memperkasa pembangunan luar bandar. Kesemua ini terdapat dalam dapatan kajian MPSI.

  4. Selain daripada itu, Bajet 2018 memperkasa keselamatan negara, mengurangkan pengambilan pekerja asing secara beransur-ansur, memperkasa kegiatan ekonomi IKS dan ekonomi digital. Sistem penyampaian diperkukuhkan dengan memperbaiki GST dan melonggarkan pembayaran balik pinjaman PTPTN. Kerajaan juga menyediakan peruntukan pembangunan modal insan di Universiti Awam dengan memperkasa aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memperkasa pembangunan sukan negara secara berterusan. Ini selari dengan dapatan kajian MPSI.

  5. Kajian MPSI juga memfokuskan kepada pembangunan masyarakat dalam pelbagai sektor meliputi bangsa Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Justeru, kami dapati Bajet 2018 ini, kerajaan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi menyantuni keseluruhan rakyat dan juga merangkumi keperluan golongan wanita, kanak-kanak dan OKU.

UTM-SRG merumuskan bahawa Bajet 2018 merupakan bajet yang inklusif, komprehensif dan berdaya maju untuk pembangunan rakyat Malaysia.

Sesungguhnya, Bajet2018 memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat seperti mana yang tercatat dalam dapatan kajian MPSI.

Sebenarnya, harapan dan jangkaan rakyat terhadap pimpinan dan kerajaan sangatlah tinggi. Rakyat berharap agar institusi kerajaan di pelbagai peringkat dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya demi memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat Malaysia.

Dalam konteks masa depan, kepimpinan negara telah menyediakan asas yang kukuh untuk menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Bajet 2018 juga menunjukkan usaha-usaha kerajaan untuk memperkasa agenda pembangunan negara secara inklusif dan seterusnya mencipta pembentukan negara-bangsa yang tersohor dan berwibawa menerusi dasar Transformasi Nasional 2050. – MalaysiaGazette